Wednesday, 29 August 2018

Laporan Kursus “Pemfluoridaan Bekalan Air-Peranan Dan Kepentingan Dalam Mengawal Dan Mengurangkan Masalah Karies Gigi” Tahun 2018 (Siri II)





Pada 27 Ogos 2018, seramai 36 orang yang terdiri daripada 18 orang anggota Unit KMAM Negeri Perak dan 18 orang lagi anggota Lembaga Air Perak telah menyertai Kursus “Pemfluoridaan Bekalan Air-Peranan dan Kepentingan dalam Mengawal dan Mengurangkan Masalah Karies Gigi Tahun 2018 (Siri II). Kursus ini diadakan di bawah anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Perak yang telah berlangsung di Bilik Seminar, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Batu Gajah.



Program telah bermula pada pukul 8:00 pagi dan upacara perasmian kursus telah disempurnakan oleh Dr Syed Nasir bin Syed Alwi, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) Perak Darul Ridzuan. Kursus dimulakan dengan mengadakan’ Pre-Test’ bagi semua peserta kursus dan kemudian diteruskan dengan penyampaian ceramah oleh Dr Noor Rohana binti Kamaruddin dengan membentangkan tajuk ‘Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam di Malaysia – Peranan dan Kepentingan Dalam Mengawal dan Mengurangkan Masalah Karies Gigi”



Ceramah yang kedua pula disampaikan oleh Dr Aida Fitrina binti Idrus dengan mambawa tajuk “Ke Arah Gigi Asli Sepanjang Hayat”. Seterusnya, ceramah “Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam – Perak Story” pula disampaikan oleh Dr Noor Rohana binti Kamaruddin dan kemudiannya sesi ‘Post-Test ‘diadakan bagi para peserta sebelum mengakhiri agenda kursus bagi sesi pagi.



Sesi sebelah petang pula dimulakan dengan pembahagian kumpulan bagi setiap peserta yang hadir. Untuk sesi berkumpulan ini, kumpulan diagihkan bagi melawat enam stesen pameran dan latihan memberus gigi yang dikendalikan oleh staf-staf pergigian daerah Perak Tengah.



Terdapat 6 stesen yang disediakan. Antara stesen yang dikendalikan adalah stesen pemeriksaan pergigian, latihan memberus gigi (LMG), penyakit pergigian, rawatan pergigian, pemakanan yang sihat, dan stesen peralatan pergigian. Kesemua stesen pameran ini dikendalikan oleh Pegawai Pergigian dan Jururawat Pergigian daerah Perak Tengah yang bertujuan memberi kesedaran dan menjelaskan kepada staf Unit KMAM dan Lembaga Air Perak tentang perkara berkaitan kesihatan pergigian.



Kursus sebegini diharap dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang bagi menerangkan tentang isu pemfluoridaan di negara ini terutamanya di negeri Perak sendiri di samping menjelaskan tentang kepentingan pelaksanaan pemfluoridaan terhadap kesihatan pergigian masyarakat kepada staf-staf Unit KMAM dan Lembaga Air Perak.